Tuesday, 27 March 2012

Ayah, bagi lah balik tangan Syira :(

Syira.nama panggilannya sejak dari kecil. Syira sangat minat melukis. Ibu dan ayahnya juga suka melihat lukisan Syira.


Suatu hari, Syira terjumpa sebatang paku karat ketika bermain buaian. Dia pun melakar simen tempat letak kereta ayahnya tetapi tidak kelihatan kerana diperbuat daripada marmar. Syira tidak puas hati. Dicubanya pula pada kereta baru ayahnya. Ya....kerana kereta itu bewarna gelap, lakarannya jelas. Apa lagi, kanak-kanak ini pun melakarlah dengan gembira dan melahirkan kreativitinya. Hari itu, ibu dan ayahnya bermotosikal ke tempat kerja kerana laluannya sesak sempena perayaan Thaipusam.

Penuh sebelah kanan dia beredar ke sebelah kiri kereta. Dilakarnya gambar ibu dan ayahnya, gambarnya sendiri, lukisan ayam, kucing dan sebagainya mengikut imaginasinya. Kejadian itu langsung tidak disedari pembantu rumahnya, Narti.

Petang itu, terkejut besar ibu dan ayah Syira melihat kereta yang baru setahun dibeli dengan bayaran ansuran yang belum habis dibayar, berbatik-batik.

Si ayah yang belum pun masuk ke rumah terus menjerit, "siapa punya kerja ni?"

Narti yang tersentak dengan jeritan itu berlari keluar. Dia juga beristighfar. Mukanya merah padam ketakutan melihat wajah bengis tuannya.

Sekali lagi diajukan pertanyaan keras kepadanya, Narti menjawab perlahan "tak tahu... !Saya tak tahu Tuan".

"Duduk di rumah sepanjang hari tak tahu, apa kau buat?" herdik si isteri pula.

Syira yang sedang tidur dibiliknya terjaga mendengar suara kuat ibu dan ayahnya. Syira begitu gembira dan tidak sabar menunjukkan lukisan terbaru kepada ibu dan ayahnya.

Dia berlari keluar dari bilik. Dengan penuh manja dia berkata "Syira buat ayahhh.. cantik kan?". Ucapnya manja sambil terus menerkam ayahnya ingin bermanja seperti selalu.

Dengan kasih murni seorang anak yang belum memahami apa-apa, menarik lembut poket seluar abahnya, manja.

Si ayah yang hilang sabar merentap ranting kecil pokok bunga raya, terus dipukul bertalu-talu tapak tangan anaknya. Si anak yang tak mengerti apa-apa melaung kesakitan kesakitan.

Puas memukul tapak tangan, si ayah memukul pula belakang tangan anaknya. Si ibu cuma mendiamkan diri, mungkin setuju dan berasa puas dengan hukuman yang dikenakan. Pembantu rumah melopong, tak tahu nak buat apa-apa, sungguh kesian dan teramat sedih, namun dia juga sangat takut .

Si bapa cukup rakus memukul-mukul tangan kanan dan kemudian tangan kiri anaknya. Selepas merasa puas, si bapa masuk ke rumah dituruti si ibu. Narti segera memeluk Syira dengan penuh kasih sayang, cepat-cepat menggendong anak kecil itu dan membawanya ke bilik.

Dilihatnya tapak tangan dan belakang tangan si anak kecil calar balar. Menangis teresak-esak kedua-duanya di dalam bilik. Narti memandikan anak kecil itu. Sambil menyiram air sambil dia menangis. Anak kecil itu pula terjerit-jerit menahan kepedihan sebaik kesan sebatan terkena air.

Narti kemudiannya menidurkan anak kecil itu. Si bapa sengaja membiarkan anak itu tidur bersama Narti. Rasa marahnya masih belum hilang.

Keesokan harinya, kedua-dua belah tangan Syira bengkak. Narti berasa bimbang dan mengadu kepada ayah Syira.

"Sapukan minyak gamat tu!" balas tuannya . Ibu dan ayah Syira bergegas ke pejabat tanpa menjenguk Syira di kamar.

Pulang dari kerja, dia tidak melayan anak kecil itu yang menghabiskan masa di bilik Narti. Si ayah kononnya mahu mengajar Syira.

Tiga hari berlalu, si ayah langsung tidak menjenguk anaknya sementara si ibu juga begitu. Tanpa pengetahuan Syira, setiap hari ibu dan ayahnya akan bertanya kepada pembantu rumah.

"Syira demam...". Jawab Narti ringkas.

"Bagi minum panadol dulu" balas si ibu.

Hati ibu Syira mula merindui gelak ketawa anaknya. Sebelum masuk bilik tidur pada malam itu, dia menjenguk bilik pembantunya. Apabila dilihat anaknya ita dalam pelukan pembantu rumah, dia menutup semula pintu. Dia menangis di luar bilik. Selalunya Syira akan mengadu dan tidur bersamanya apabila tidak sihat.

Masuk hari keempat, pembantu rumah memberitahu tuannya bahawa suhu badan Syira terlalu panas.

"Petang nanti kita bawa ke klinik. Pukul 5.00 kita pergi" kata majikannya itu.

Sampai waktunya, Syira sudah tidak bermaya. Ayahnya mulai risau dan terus membawa Syira ke klinik. Doktor mengarahkan supaya kes tersebut dirujuk ke hospital kerana keadaan Syira sudah serius. Setelah seminggu di wad pediatrik doktor memanggil bapa dan ibu kanak-kanak itu.

"Tiada pilihan.." kata doktor yang mencadangkan agar kedua-dua tangan kanak-kanak itu dipotong kerana jangkitan sudah menjadi Gangren sudah terlalu teruk.

"Tangan anak tuan sudah bernanah teruk, demi keselamatan dan nyawa anak tuan, tangan perlu dipotong dari siku ke bawah" kata doktor.

Ayah dan ibu Syira bagaikan terkena halilintar mendengar kata-kata itu. Terasa dirinya tunggang terbalik, tapi apalah dapat dikatakan.

Si ibu meraung merangkul si anak. Dengan berat hati dan lelehan air mata isterinya, si ayah terketar-ketar menandatangani surat kebenaran pembedahan.

Keluar dari bilik pembedahan, selepas ubat bius yang dikenakan habis, Syira menangis kesakitan. Dia juga terpinga-pinga, melihat kedua- dua tangannya berbalut putih.

Direnung muka ayah dan ibunya. Kemudian ke wajah pembantu rumahnya, Kak Narti. Dia mengerutkan dahi melihat mereka semua menangis. Dalam seksaan menahan sakit, si anak yang keletah bersuara dalam linangan air mata...

"Ayah.. ibu... Syira tak buat lagi. Syira tak mahu ayah pukul. Syira tak mahu jahat lagi. Syira sayang ayah.. sayang ibu". Katanya berulang kali membuatkan si ibu gagal menahan rasa.

"Syira juga sayang Kak Narti.." Katanya memandang wajah pembantu rumah, sekaligus membuatkan gadis dari Surabaya itu meraung seperti histeria.

Tidak seorang pun yang melihat suasana itu tidak menangis.... "Ayah.. bagilah balik tangan Syira. Buat apa ambil.. Syira janji tak buat lagi! Syira nak makan, macam mana? Nak main macam mana? Syira janji tak conteng kereta lagi!" Katanya sambil menangis tersedu-sedan.

"Ibu, Syira nak melukis macam mana buuu....?"

Bagaikan gugur jantung si ibu mendengar kata-kata anaknya. Meraunglah dia sekuat hati namun takdir yang sudah terjadi, tiada manusia dapat menahannya..

Pengajaran daripada cerita:

"Didiklah dan pukullah anak anda dengan penuh kasih sayang, bukan untuk lepaskan geram dan marah anda...."

Jangan lupa untuk tekan butang share selepas anda baca ♥

0 Feedback:

Post a Comment